Cari Blog Ini

Pengikut

Selasa, 2 Mac 2010

Pesan Rasulullah

RASULULLAH SAW ada menyampaikan pesanan dan wasiat kepada isteri, anak, kaum kerabat dan umat Islam seluruhnya. Namun antara wasiat yang menarik dan boleh dijadikan bahan renungan bersama ialah wasiatnya kepada menantu baginda, Saidina Ali Abu Talib.

Sungguhpun wasiat itu khusus kepada Ali, namun kita sebagai Muslim dan muslimah, perlu menjadikannya sebagai iktibar lalu menjadikannya amalan.

Larangan dan suruhan Rasulullah saw melalui wasiat itu, adalah juga untuk kaum Muslimin dan muslimat. Malah, boleh dikatakan semua perkara dalam wasiat itu adalah ciri-ciri utama orang
beriman.

Berikut adalah antara wasiat Nabi kepada Ali seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas:Ibnu Abbas meriwayatkan, bahawa Ali Abu Talib berkata: "Pada hari perkahwinan dengan Fatimah,
Rasulullah saw bersabda kepadaku, mengutarakan tiga belas wasiat khusus untukku:"

1. Wahai Ali, takutilah engkau daripada memasuki tempat mandi (hammam) tanpa memakaikain separas pinggang. Bahawasanya barang siapa memasuki tempat mandi tanpa kain separas pinggang, maka dia mendapat laknat (mal'un).

2. Wahai Ali, janganlah engkau ‘memakai cincin di jari telunjuk dan di jari tengah'. Sesungguhnya itu adalah apa yang dilakukan oleh kaum Lut.

3. Wahai Ali, sesungguhnya Allah mengagumi hamba-Nya yang melafazkan istighfar:
"Rabighfirli fainnahu la yaghfirul-zunuba illa Anta" ( Tuhanku, ampunilah aku. Sesungguhnya tiada yang mengampunkan dosa melainkan Engkau). Allah lalu berfirman: "Hai malaikat-Ku,sesungguhnya hamba-Ku ini mengetahui bahawasanya tiada yang mengampunkan dosa melainkan Aku. Hai malaikat-Ku: Jadilah saksi, bahawasanya aku telah mengampuni dia".

4. Wahai Ali, takutilah engkau daripada berdusta. Bahawasanya berdusta itu menghitamkan muka dan disuratkan oleh Allah sebagai kazzab (pendusta). Dan, bahawasanya benar itu memutihkan muka dan disuratkan oleh Allah sebagai sadiq. Ketahuilah engkau, bahawasanya sidq (benar) itu berkat dan kizb (dusta) itu celaka.

5. Wahai Ali, peliharalah diri engkau daripada mengumpat dan mengadu-dumba. Bahawasanya orang
berbuat demikian itu diwajibkan ke atasnya seksaan kubur dan menjadi penghalang kepadanya di
pintu syurga.

6. Wahai Ali, janganlah engkau bersumpah dengan nama Allah, sama ada dusta atau benar, kecuali dalam keadaan darurat, dan janganlah jadikan Allah permainan sumpah engkau. Sesungguhnya Allah tidak menyucikan dan tidak mengasihani orang yang bersumpah dusta dengan nama-Nya.

7. Wahai Ali, janganlah engkau mencita-citakan rezeki untuk hari esok. Bahawasanya Allah mendatangkan rezeki engkau setiap hari.

8. Wahai Ali, takutilah engkau daripada berbantah-bantah dan berkelahi dengan maki-hamun dan sumpah-seranah. Bahawasanya perbuatan itu pada awalnya jahil dan pada akhirnya penyesalan.

9. Wahai Ali, sentiasalah engkau bersugi dan mencolek (mencungkil) gigi. Bahawasanya bersugi itu menyucikan mulut, mencerahkan mata dan diredai Allah, manakala mencolek gigi itu dikasihi malaikat kerana malaikat amat tidak senang dengan bau mulut kerana sisa-sisa makanan di celah gigi tidak
dicolek selepas makan.

10. Wahai Ali, janganlah engkau melayani rasa marah.Apabila timbul rasa marah, duduklah engkau dan fikirkanlah mengenai kekuasaan dan kesabaran Allah Taala ke atas hamba-Nya. Pertahankah diri engkau daripada dikuasai kemarahan dan kembalilah engkau kepada kesabaran.

11. Wahai Ali, perhitungkanlah (tahassub) kurniaan Allah yang telah engkau nafkahkan untuk diri engkau dan keluarga engkau, nescaya engkau peroleh peruntukan daripada Allah.

12. Wahai Ali, apa yang engkau benci pada diri engkau, maka engkau bencikan juga pada diri saudara engkau dan apa yang engkau kasih pada diri engkau maka engkau kasihkan juga pada diri saudara engkau, yakni engkau hendaklah berlaku adil dalam memberi hukuman. Dengan itu, engkau
dikasihi seluruh isi langit dan bumi.

13. Wahai Ali, perbaikkanlah perhubungan di antara penduduk (jiran) sekampung dan antara ahli rumah engkau. Hiduplah dengan mereka sekaliannya dengan rasa persahabatan dan kekeluargaan,nescaya disuratkan darjat yang tinggi bagi engkau.

Wahai Ali, peliharakanlah pesananku (wasiatku). Engkau akan peroleh kemenangan dan kelepasan.InsyaAllah

Khamis, 9 Oktober 2008

Selamat tinggal Ramadhan

Ramadhan rupanya akan meninggalkan kita buat sekian kalinya. Mudah-mudahan dipanjangkan umur untuk menghadiri madrasah Ramadhan pada tahun akandatang. Ramadhan mengajar diri menjaga disiplin-disiplin yang telah ditetapkan oleh ALlah dan Rasul-Nya untuk diikuti dan dihayati. Perginya Ramadhan sebagai satu penilaian kepada diri kita samada semakin baikkah akhlaq yang selama ini dilentur ataupun natijahnya tetap juga sama apabila tiba sahaja bulan-bulan lain.Aidilfitri yang jatuh pada 1 Syawal adalah hari kemenangan, hari kegembiraan. Di hari ini diharamkan untuk umat Islam berpuasa untuk meraikan hari kemenangan melawan hawa nafsu dan perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari. Apabila Penyimpan Mohor Besar telah membuat pengumuman mengenai jatuhnya 1 Syawal pada keesokan harinya, marilah kita bersama-sama bertakbir kemenangan samada di masjid, surau ataupun dengan keluarga di rumah. Kita membesarkan ALlah, mengucapkan syukur kepada-Nya.

"Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.(Surah Al-Baqarah : 185)Berpagi-pagi di Aidilfitri, mandi sunat aidilfitri, memakan kurma, pakailah pakaian yang terbaik (cantik dan kemas) dan bersegera menuju ke masjid. Apabila pergi lalulah di jalan lain, dan semasa pulang ikutlah pula jalan lain.
Dari Anas ia berkata : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak keluar pada waktu pagi Raya Fitrah sehingga ia makan terlebih dahulu beberapa biji kurma. Seterusnya Anas menceritakan bahawa Baginda memakan kurma itu dalam bilangan ganjil. (Hadits riwayat Al-Bukhari dan Ahmad)

Adab-adab menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Selepas habis sahaja mendengar khutbah selepas Solat Sunat Aidilfitri, bermaaf-maafanlah sesama ahli masjid, surau, ahli keluarga, sanak saudara, jiran tetangga, sahabat handai serta semua saudara seIslam. Begitulah, kita ini terkadang tersilap tafsir - bahawa meminta maaf setahun sekali, sedangkan sepatutnya apabila sahaja berlaku khilaf mintalah maaf sesama kita. Jika ada benci, buanglah sejauh-jauhnya. Hidup ini amat singkat hanya untuk bermusuh-musuhan.

Firman Allah Subhanahu Wataala dan Surah Al-Hujuraat ayat 10 tafsirnya:"Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu yang bertelingkah itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.Ziarahilah antara kita untuk mengeratkan tali persaudaraan, bersalam-salaman, mungkin selama ini sudah terputus lama hubungan. Tidak kedengaran khabar berita, maka di hari mulia ini adalah titik permulaan untuk bersatu kembali kerana ALlah.

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari yang bermaksud:"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam Baginda bersabda: Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah ia menghormati tetamunya dan barangsiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah ia menyambung silaturahim.

Jika hendak ziarahi kubur ikutilah adab-adabnya, beri salam, mendoakan ahli kubur, membaca al Quran (dan berdoa mudah-mudahan pahala dari bacaan al Quran dapat disedekahkan kepada ahli kubur). Jiruslah air di atas kuburan serta menaburkan dengan bunga dan dedaunan yang masih basah. Kepada wanita Islam yang beriman - tolonglah tutup aurat, bukan sahaja semasa solat, bahkan juga sepanjang masa yang wajib untuk menutupinya.

Dan elok juga diperingatkan buat diri dan semua umat Islam, marilah kita berpuasa enam hari selepas 1 Syawal.

Dari Abi Ayub Al-Ansari Radiallahuanhu, ia menceritakan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah ia berpuasa sepanjang tahun". (Riwayat Al-Imam Muslim)